Welcome Blog


Isnin, 27 Februari 2012

Penantian Istimewa

Annur Madiihah
Tarikh bersalin semakin hampir tapi kami masih tidak dapat mencari nama yang sesuai untuk anak kami jika anak kami adalah perempuan.Semua nama yang dicari tidak menepati apa yang kami mahukan.Bukanlah kami nak menamakan anak kami dengan nama-nama yang tak pernah didengar orang tetapi biarlah nama itu mudah untuk dipanggil dan maknanya pun baik.

Kami tidak mahu meletakkan nama yang panjang tetapi bila dipanggil begitu singkat hingga hilang makna nama sebenarnya.Lebih teruk tidak kedengaran langsung nama asalnya.Bagaimana kita ingin mendoakan anak kita dengan panggilannya jika nama sebenarnya tidak dipanggil?
Setelah mengetahui jantinannya perempuan selepas anakku dilahirkan,anakku masih lagi belum mempunyai nama hingga hari ketujuh.Akhirnya,aku melihat kembali senarai cadangan nama untuk anak lelaki dan anak perempuan.Annur Madiihah yang menjadi pilihan kami berdua setelah suamiku bersetuju.

Maksud nama anakku ini ialah cahaya yang terpuji.Selamat dilahirkan pada 21 Januari 2012 secara normal pukul 4.20 petang bersamaan hari Sabtu.Berat ketika dilahirkan 3.25kg.Inilah anak yang dinantikan kami selama 39 minggu 1 hari.Anak yang mengikat kasih sayang kami suami isteri.😃

Annur
Annur Madiihah setelah dibenarkan keluar dari hospital
Adalah menjadi hak anak dan kewajipan yang mesti dipenuhi oleh ibu bapa memberikan nama yang baik kepada bayi yang baru dilahirkan.Memberikan seseorang nama-nama yang baik dan elok menjadi tuntutan Islam dan budaya Melayu.

Dalam satu majlis, seorang anak menemui Khalifah Umar Al-Khattab dan bertanya mengenai hak seorang anak ke atas bapanya, Khalifah Umar Al-Khattab telah menjelaskan.

“Memilih ibunya, memperelokkan namanya dan mengajarkan kepadanya Al-Quran.”

Sebab itu setiap pemilihan, sebaik-baiknya ada tujuan dan dengan maksud yang boleh menjadi atau mengandungi doa, boleh dipercayai serta berkaitan pula dengan pembentukan sahsiah anak tersebut..

Kekal Sehingga Akhirat
Islam menganjurkan pemilihan nama yang baik kerana ia lambang identiti seseorang dan nama itulah ia akan dikenali sepanjang hayat dan menjadi sebutan sampai ke hari akhirat. Apabila orang memanggilnya dengan nama tersebut, maka pada sepanjang hayatnya mereka seolah-olah berdoa untuk anak tersebut.
.
Seorang Muslim wajib percaya kepada hari kebangkitan dan perlu mengakui bahawa nama yang diberikan kepada anak di dunia akan kekal digunakan di akhirat.

Abu Darda ada meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيامَةِ بأسْمائكُمْ وأسماءِ آبائِكُمْ فأحْسِنُوا أسْماءَكُمْ

“Sesungguhnya kamu akan diseru atau dipanggil pada hari Kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu..”

( Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Dardak r.a.)

Hari Memberi Nama
Disunatkan memberi nama kepada bayi pada hari ketujuh kelahirannya sebagaimana yang terdapat dalam sabda Rasulullah S.A.W;

كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَةٍ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ، وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى

“Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan suatu aqiqah; disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”.

( Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Hasan r.a. dari Samurah bin Jundub r.a.)

Rasulullah SAW juga pernah memberi nama kepada bayi pada hari dilahirkan. Antaranya ialah hadis dari Abu Musa al-Asy’ari r.a. yang menceritakan;

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَسَمَّاهُ: إِبْرَاهِيمَ، وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ

“Telah dilahirkan untukku seorang anak, lalu aku membawanya kepada Rasulullah SAW, maka baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahniknya dengan sebiji buah tamar serta baginda mendoakan keberkatan untuknya.”

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Maka, adalah menjadi sunnah menamakan bayi pada hari ketujuh atau pada hari ia dilahirkan. Imam Nawawi dalam al-Azkar menegaskan; “Yang menjadi sunnah ialah menamakan bayi pada hari ketujuh dari hari kelahirannya atau menamakannya pada hari kelahirannya.”

Manakala Imam Bukhari menjelaskan; “Hadis-hadis yang menyebutkan hari kelahiran dimengertikan bagi orang yang tidak berniat melakukan aqiqah dan adapun hadis-hadis yang menyebutkan hari ketujuh, maka dimengertikan bagi orang yang ingin melakukan aqiqah bagi anaknya.”

Menamakan Bayi Yang Meninggal
Jika ditakdirkan bayi mati di dalam perut, gugur atau pun meninggal sewaktu dilahirkan, adalah disunatkan diberikan juga nama kepada mereka. Bersyukur dan terimalah dengan redha atas kematian ini kerana anak-anak yang meninggal sebelum umur baligh adalah mati syahid dan akan menjadi syafaat kepada ibubapanya di akhirat kelak.

Allah Ta’ala berfirman kepada Jibril, Alaihis Salaam: “Pergilah dan ambillah ayah-ayah mereka dan ibu-ibu mereka dari mana-mana sahaja mereka berada, lalu serahkanlah mereka kepada anak-anak mereka, kerana sesungguhnya aku benar-benar telah mengampuni dosa-dosa mereka dengan syafaat anak-anak mereka, dan masukkanlah mereka bersama-sama anak-anak mereka masing-masing ke dalam syurga.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan