Welcome Blog


Sabtu, 14 Februari 2015

Kisah Anak Peminta Sedekah

Assalamualaikum.
Pagi ini balik dari kerja syif malam tadi,aku dan teman sekerja setuju untuk ke pasar tani di Salak.Ramai sungguh manusia.Parking pun sesak keluar masuk kereta.Bergantung pada nasib jika dapat parking yang berdekatan dengan pasar itu.
Inilah pertama kali aku menjejakkan kaki ke pasar tani ini.Ada kedai baju,kuih muih,kelengkapan rumah,bahan mentah untuk masakan dan sebagainya.Yang best sebab banyak kedai dengan makanan.Semuanya nampak sedap dan menyelerakan.Jadi sebaiknya jangan datang ketika perut kosong.Memang akan rasa nak beli semuanya seperti bulan puasa.
Aku perhatikan ada seorang peminta sedekah memangku anaknya yang sedang tidur,seusia anakku Madiihah.Bercampur baur perasaan kerana aku tak suka bila peminta sedekah membawa anak mereka bersama tapi pada masa yang sama berasa sebak dan sayu.Kali pertama aku lalu di hadapan mereka,aku tidak menghulurkan sedekahku kerana wang yang ada padaku nilainya besar.
Aku perlu berjimat cermat kerana gajiku pada bulan ini belum layak aku dapat disebabkan aku telah bercuti setahun tanpa gaji sebelum ini.Proses gaji akan makan sedikit masa untuk dikemaskini dan berdasarkan kehadiranku selama beberapa bulan di tempat kerja.Ya Allah nak bersedekah pun perlu berkira ke???Rasa kerdil juga diri ini.Sebab itu aku ingin jadi muslimah yang kaya agar dapat membantu mereka yang memerlukan tanpa perlu mengira nilainya.Doakan menjadi kenyataan.Aamiin.
Selepas selesai membeli daging,aku menuju ke arah perempuan itu dan anaknya.Nampak ada kedai yang menjual buku mewarna dan pensil warna.Ku beli untuk hadiahkan pada anak perempuannya.Ketika ku hulurkan sedekah dan hadiah yang tak seberapa itu,anaknya masih tidur.Ku sentuh dahinya untuk mengetahui sama ada anaknya demam ataupun tidak.Alhamdulillah sihat jadi aku anggap ibunya menjaga dengan baik dan bukan mempergunakan kesakitan anaknya untuk mengemis.
Sambil menunggu teman sekerja ku membeli barang-barang mereka,ku lihat anak perempuan itu sudah terjaga dan ibunya memberikan hadiahku itu kepada anaknya.Bahagia melihat anaknya tersenyum gembira sambil memegang buku mewarna tersebut.Ibunya menunjukkan pada anaknya bahawa aku yang memberikannya hadiah itu.
Aku bertanyakan sama ada anak kecil itu sudah makan atau belum tapi kurang kedengaran jawapannya.Aku membelikan mereka berdua minuman untuk menghilangkan dahaga.Ucapan terima kasih tidak lekang dari mulut anak itu.
Simpati walaupun tiada sebarang kecacatan pada mereka berdua namun mungkin desakan hidup membuat ibunya mengemis.Itu urusan ibunya dengan Allah jika dia menipu tetapi bagiku biarlah kita ikhlaskan pemberian kita pada peminta sedekah ini kerana dalam bahagian rezeki kita ada bahagian manusia lain.
Pemberian kecil yang mampu mengundang kegembiraan anak itu adalah sesuatu yang amat bererti bagi diriku.InsyaAllah,ada peluang lagi kita bertemu.Semoga ibunya berusaha memperbaiki hidup mereka ke arah yang lebih baik.InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan