Welcome Blog


Sabtu, 5 April 2014

Osteoporosis

Apabila berbincang mengenai osteoporosis atau masalah tulang rapuh, ramai mengaitkannya dengan wanita kerana ia menjadi antara masalah utama terutama selepas menopaus (putus haid).

Jangan salah sangka, osteoporosis bukan masalah khusus untuk wanita saja kerana lelaki juga turut mengalaminya tetapi kes yang dicatatkan jauh lebih rendah.Mengapa wanita lebih ramai mengalami osteoporosis?Ada banyak sebab.Antaranya wanita dilahirkan dengan ketumpatan tulang yang lebih rendah dan kadar kemerosotan jisim tulang pula berlaku lebih cepat pada wanita berbanding lelaki.  
Hormon estrogen yang mengawal kitaran haid juga memainkan peranan dalam menjaga kekuatan dan kesihatan tulang pada wanita dan lelaki. Sebelum menopaus, paras estrogen ini lebih tinggi pada wanita berbanding lelaki dan paras hormon jatuh mendadak selepas menopaus.Kekurangan hormon inilah yang turut menyumbang kepada kehilangan jisim tulang pada kadar satu hingga tiga peratus setahun.

Dalam kebanyakan kes, tulang menjadi reput dan lemah disebabkan kekurangan kalsium dan fosforus. Kekuatan tulang bergantung kepada ketumpatan tulang yang mempunyai kaitan rapat dengan tahap kandungan garam kalsium, fosforus dan lain-lain garam dalam tulang. 
Bagi lelaki, kadar kerapuhan tulang bermula agak lambat berbanding wanita tetapi akan menjadi sama dengan wanita selepas umur 65 tahun. Dalam usia yang lanjut, wanita mungkin akan kehilangan sehingga 35 peratus hingga 50 peratus ketumpatan tulang manakala lelaki akan kehilangan sekadar 25 peratus hingga 35 peratus saja. 

Menurut Pakar Perunding Ortopedik dan Trauma Pusat Perubatan Tropicana, Dr.Joseph Yap, osteoporosis adalah penyakit tulang secara keseluruhan yang berlaku apabila kadar ketumpatan tulang menurun membuatkan struktur tulang menjadi rapuh dan meningkatkan risiko patah tulang. 

Seiring peningkatan usia, tulang menjadi semakin nipis kerana sel tulang sedia ada yang diserap semula oleh tubuh berlaku lebih pantas berbanding penghasilan tulang baru. 

“Jika mineral tulang berada di bawah 2.5 sd (standard deviation) daripada keadaan tulang normal, individu berkenaan dikira mengalami osteoporosis.Oleh itu, penting untuk mendapatkan pemeriksaan awal kerana penyakit ini menyerang dalam diam serta tidak memiliki gejala awal hinggalah keadaan individu terbabit berada di peringkat serius,” katanya. 

Dr Joseph berkata, tulang mempunyai dua sel saling berkaitan iaitu osteoblas iaitu sel membentuk tulang dan juga osteoklas sel yang memakan tulang.Apabila berlakunya osteoporosis, didapati sel osteoklas yang memakan tulang melebihi sel osteoblas yang membentuk tulang. 

Ketidakseimbangan ini membuatkan struktur tulang menjadi rapuh dan meningkatkan risiko patah tulang belakang, pergelangan tangan, pinggul, pelvik dan lengan apabila berlakunya impak seperti terjatuh ataupun kemalangan. 

Faktor risiko 
Osteoporosis adalah penyakit yang tidak mempunyai gejala pada kebanyakan pesakit sehingga berlaku keretakan tulang. Inilah sebabnya kita perlu memberi perhatian kepada faktor risiko osteoporosis seperti: 

Risiko tetap (tidak boleh diubah) 
  • Umur
  • Bangsa; orang Asia dan Eropah lebih mudah mendapat osteoporosis berbanding Afrika
  • Jantina; perempuan boleh mengalami osteoporosis dua kali ganda berbanding lelaki
  • Menopaus awal (kurang daripada 45 tahun)
  • Sejarah keluarga yang mengalami osteoporosis
Risiko boleh diubah 
  • Pemakanan yang kurang mengandungi kalsium
  • Tidak banyak melakukan aktiviti fizikal
  • Merokok
  • Pengambilan alkohol ­secara berlebihan
  • Pengambilan kafein ­berlebihan
Tanda dan gejala 
Pada peringkat awal kerapuhan tulang, pesakit tidak mengalami sebarang tanda atau gejala. Namun, apabila kerapuhan menyebabkan tulang itu lemah, maka pesakit akan mula menunjukkan tanda dan gejala seperti berikut: 
  • Sakit tulang belakang
  • Pesakit akan kelihatan pendek dan bongkok
  • Keretakan pada tulang belakang, sendi pergelangan tangan, sendi tulang pinggul atau tulang lain walaupun disebabkan kecederaan kecil
Diagnosis 
  • Proses mengesan osteoporosis menggunakan pelbagai kaedah dan peralatan menguji ketumpatan tulang.
  • Ujian paling sensitif untuk mengesan osteoporosis adalah melalui kaedah DEXA scan (dual energy X-ray absorptiometry). 
Imbasan CT
  • Imbasan ultra bunyi
Rawatan 

  • Penggunaan ubat antiresorptive.Ia bertujuan mengurangkan kadar pembuangan tulang lama serta membantu menambah pembentukan tulang baru dalam badan 
  • Rawatan anabolic antiosteoporotic.Proses rawatan ini lebih berkesan tetapi ia diberikan secara suntikan bukan melalui pil atau kapsul

Dr.Joseph berkata, penting bagi individu mengamalkan gaya hidup sihat tanpa terlalu bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan tertentu. 

Antara amalan pencegahan boleh dilakukan: 
  • Mengamalkan pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi
  • Senaman membantu membina tulang yang kuat dan melambatkan proses kerapuhan tulang
  • Jangan merokok
  • Kurangkan pengambilan alkohol dan kafein 
Katanya, ia bertujuan untuk mengelakkan kesan risiko jangka pendek seperti keretakan tulang akibat hentakan yang minimum seperti terjatuh. 

Untuk kesan jangka ­panjang pula, jika pesakit tidak mendapatkan rawatan segera, bengkak dan rasa sakit pada bahagian yang tercedera akan bertambah dan berkemungkinan ­kualiti hidup akan terjejas. 

“Hingga kini tiada ubat khusus untuk mencegah osteoporosis terutama dalam kalangan individu yang berisiko tinggi mengalaminya,” katanya. 

Selain itu, aktiviti seperti berenang, berjalan cepat, pilates, menaiki tangga, mengangkat bebanan dan berlari boleh membantu untuk menguatkan tulang dan menghindarkan osteoporosis. 

Di samping itu, wanita mengandung juga bakal berhadapan dengan masalah ini sekiranya tidak menjaga kesihatan diri sebaik mungkin sepanjang tempoh kehamilan.Ini disebabkan keperluan kalsium wanita mengandung meningkat daripada biasa iaitu 1,000 hingga 2,000 miligram kepada 15,000 miligram sehari. 

“Penting untuk wanita mengandung mendapatkan bekalan kalsium mencukupi sepanjang tempoh kehamilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Sumber artikel http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan