Welcome Blog


Sabtu, 25 Januari 2014

Jenis-Jenis Posisi Penyusuan

Secara amnya, anda perlu tahu bahawa setiap kali sesi penyusuan berlangsung, kepala, tengkuk dan badan bayi perlu berada dalam keadaan selari. Mukanya pula perlu menghadap payudara. Hidung pula perlu bertentangan dengan puting payudara anda.

Ketahui juga bahawa bayi perlu rapat dengan anda, perutnya bertemu dengan perut anda. Antara lain, kepala, bahu dan punggung bayi perlu diampu dengan sebaik-baiknya. Dalam masa yang sama, anda dinasihatkan untuk tidak terlalu membongkok dan sentiasa berada dalam keadaan yang selesa.


Cradle Hold

Posisi dakapan ini merupakan kedudukan yang paling biasa diamalkan oleh para ibu menyusu ketika menyusukan bayi masing-masing. Ramai yang beranggapan, posisi ini adalah cara paling alami bagi seseorang ibu untuk memegang bayi ketika menyusu.

Ia sememangnya sangat selesa buat diri anda sendiri dan bayi yang disusukan juga. Posisi ini membolehkan perut bayi dan perut anda bertemu. Oleh yang demikian, anda tidak perlu memusingkan kepala bayi untuk menyusukannya.

Dalam mengaplikasikan posisi klasik ini, apa yang perlu anda ketahui ialah kepala bayi perlu berada dalam keadaan seperti berehat di dalam dakapan anda. Dalam masa yang sama, sokong bahagian belakang badan dan punggung bayi. Lengannya pula perlu berada di bahagian sisi.

Cross Cradle Hold

Posisi ini hampir sama seperti posisi cradle hold. Dengan menggunakan posisi ini, bayi akan diampu oleh sebelah lagi tangan anda. Jika bayi menyusu di payudara kiri, bahagian badan, belakang dan kepalanya diampu oleh lengan kanan anda. Tapak tangan anda pula akan mengampu kepala bayi. Selain daripada itu, badan bayi boleh juga disokong dengan menggunakan bantal menyusu.

Anda perlu berada dalam posisi tegak. Jangan membongkok kerana ia boleh menyebabkan anda berasa tidak selesa ketika menyusukan bayi. Malah hal yang sama boleh menyebabkan anda mengalami sakit belakang. Sementara itu, ketahuilah posisi ini amat sesuai untuk para ibu yang mempunyai saiz payudara yang agak besar.

Football Hold

Posisi seperti ini memerlukan sokongan tambahan iaitu anda memerlukan bantal menyusu bagi menyokong bayi agar dia kekal selesa. Bantal berkenaan perlu diletakkan di bahagian tepi tubuh atau bawah lengan anda bagi membolehkan bayi berada sama paras dengan payudara.

Untuk makluman, teknik ini sangat sesuai untuk dipraktikkan oleh ibu yang melahirkan bayi secara czer. Hal ini kerana posisi ini dapat membantu anda mengelakkan bahagian perut daripada menerima tekanan berat badan bayi.

Selain itu, posisi ini juga sesuai untuk anda yang memilikki payudara besar, menyusukan bayi pramatang atau bayi bayi bersaiz kecil. Malah anda yang mempunyai anak kembar juga boleh mengaplikasikan posisi ini untuk menyusukan mereka pada waktu yang serentak.

Lying Down

Posisi menyusukan bayi secara berbaring ini boleh digunakan ketika anda mahupun bayi berasa letih. Ia amat selesa. Malah, jika anda baru melahirkan bayi secara czer, posisi ini boleh dicuba pada hari-hari pertama selepas kelahiran bayi. Lakukannya dengan menyokong kepala bayi dengan lengan ketika anda berbaring.

Tandem

Lazimnya, posisi-posisi ini diamalkan oleh mana-mana ibu menyusu yang mempunyai anak kembar agar dia dapat menyusukan kedua-dua orang anak dalam satu-satu masa. Walau bagaimanapun, posisi yang sama juga boleh anda aplikasikan jika masih mempunyai anak yang lebih berusia untuk menyusu bersama bayi kecil pada waktu yang sama.

Sumber artikel daripada http://bidanbersalin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan